Pandemik COVID-19 Beri Tekanan Hebat Kepada Polis Sabah, Labuan

Hazani Ghazali

LABUAN, 28 Dis : Penularan pandemik COVID-19 merupakan satu cabaran luar biasa dan ini memberi tekanan yang agak berat kepada pasukan polis Sabah dan Labuan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali hari ini.

Katanya beliau tidak dapat menafikan perkara itu, dan mereka bersyukur dengan kehadiran pasukan penguat kuasa lain seperti Angkatan Tentera Malaysia dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang memberi kerjasama rapat kepada mereka.

“Tekanan itu bertambah berat semasa pilihan raya Sabah berlangsung pada lewat September,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau turut mendedahkan hampir 1,000 anggota dan pegawai polis di Sabah serta Labuan telah menjalani kuarantin kendiri, sama ada kerana dijangkiti COVID-19 atau kontak rapat pesakit yang disahkan atau disyaki.

“Malah hari ini, 46 anggota dan pegawai polis (Sabah dan Labuan) telah diuji positif yang menyebabkan 28 lagi menjalani kuarantin dan kita jangka lebih ramai akan dikuarantin kerana kontak rapat,” katanya.  

Hazani berkata di sebalik amalan 3W (pakai pelitup muka, basuh tangan dan penjarakan fizikal), mereka tetap terdedah kepada risiko tinggi dijangkiti penyakit itu dengan insiden terkini di Kota Belud yang mencetuskan satu kluster baharu melibatkan anggota polis yang dijangkiti semasa operasi menangkap suspek penjenayah.

“Keluar bekerja semasa penularan COVID-19 ini meletakkan barisan hadapan seperti pasukan polis di bawah tekanan yang hebat dan mampu menjejaskan kesihatan emosi mereka jika terdedah dalam tempoh yang lama.

“Di sebalik semua ini, mereka kekal komited terhadap tugas bagi mengekang penularan pandemik ini… kami rasa ‘kecil’ dengan pengorbanan besar serta komitmen tidak berbelah bahagi mereka yang turut merisikokan nyawa sendiri demi negara,” kata Hazani.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard bagi membantu pihak berwajib melandaikan lekuk COVID-19 di negara ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *