Dua Wanita Dilantik Sebagai Peguam Besar Sabah, Datuk Bandar Kota Kinabalu

Nor Asiah Mohd Yusof menerima watikah pelantikan sebagai Peguam Besar Sabah daripada Ketua Menteri Hajiji Noor. (Gambar JKM Sabah)

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini melantik dua wanita untuk menerajui Jabatan Peguam Besar Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Nor Asiah Mohd Yusof yang sebelum ini menjawat jawatan timbalan peguam besar Sabah dilantik menjadi Peguam Besar negeri, manakala Ketua Pengarah DBKK, Noorliza Awang Alip dilantik sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu.

Dua pegawai kanan berkenaan masing-masing menerima watikah perlantikan daripada Ketua Menteri, Hajiji Noor di Pejabat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Nor Aisiah ketika ditemui berkata, beliau berterima kasih kepada ketua menteri kerana memberi kepercayaan kepadanya sebagai Peguam Besar negeri.

”Banyak yang perlu dilakukan di jabatan ini (Jabatan Peguam Besar Sabah) seperti mengemas kini dan menyemak semula beberapa undang-undang sedia ada, termasuklah undang-undang hak milik strata.

Noorliza Awang Alip merupakan wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Kota Kinabalu.(Gambar JKM Sabah)

“Terima kasih juga kepada semua kakitangan dan pegawai di jabatan yang banyak membantu selama ini,” katanya.

Nor Asiah memulakan kerjaya dalam bidang perundangan sejak 1995 dan dilantik sebagai timbalan peguam besar Sabah pada 2018.

Sementara itu, Noorliza yang merupakan Datuk Bandar wanita pertama Kota Kinabalu ketika ditemui menyifatkan pelantikannya itu penghargaan daripada kerajaan negeri terhadap kepemimpinan wanita.

“Pelantikan ini membuktikan kerajaan negeri menghargai wanita dan diberi peluang untuk menerajui jawatan penting kerajaan.

”Pengiktirafan ini juga sudah pasti akan menjadi pemangkin dan meningkatkan semangat dalam kalangan wanita di negeri ini.

”Saya merakamkan terima kasih kepada ketua menteri dan kerajaan negeri atas pelantikan ini,” katanya yang sebelum ini memulakan tugas di Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (MPKK) sebagai penolong setiausaha MPKK pada 1996.

Terdahulu Hajiji berkata, pelantikan Nor Asiah dan Noorliza membuktikan peranan dan kepemimpinan wanita terus mendapat pengiktirafan serta penghormatan daripada kerajaan negeri.

”Ini (pelantikan wanita) adalah antara usaha kita memastikan penyertaan wanita, terutama pegawai yang ada pengalaman luas dalam jabatan atau organisasi masing-masing diberi pengiktirafan yang sewajarnya di negeri ini.

”Saya berharap dengan pelantikan ini, jabatan atau organisasi yang diketuai akan lebih cemerlang dan berdaya saing serta maju sejajar dengan slogan Sabah Maju Jaya.

Turut hadir pada majlis penyerahan watikah tadi ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Abidin Madingkir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Safar Untong dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datu Rosmadi Datu Sulai. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *