Sabah Mahu Jumlah Sama Diterima Sarawak Daripada PETRONAS

atuk Dr Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Sabah mahu jumlah Cukai Jualan Negeri yang sama diberikan PETRONAS kepada Sarawak ke atas sumber minyak dan gasnya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata PETRONAS tidak mungkin memberikan jumlah yang kurang kepada Sabah, berbanding apa yang dipersetujui di antara syarikat minyak itu dengan kerajaan Sarawak.

“Kita jangka menerima tidak kurang daripada apa yang Sarawak dapat kerana kita tidak minta kurang. Kalau dapat lebih, itu lagi bagus,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Putatan, di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Presiden STAR berkata demikian ketika ditanya sama ada Sabah bakal mendapat sama seperti yang diperolehi Sarawak apabila rundingan dengan PETRONAS selesai.

Beliau berkata, rundingan berkaitan hal itu di antara kerajaan negeri dan PETRONAS dijangka diadakan awal tahun depan.

“Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor pun ada menyebut perkara ini ketika pembentangan Belanjawan Sabah 2021. Jadi, kita tunggu sajalah. Pertemuan dengan PETRONAS itu dijadual selepas tahun baharu ini,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2021 minggu lalu, Hajiji berkata, PETRONAS akan bertemu dengan kerajaan negeri untuk memulakan rundingan berhubung perkara itu.

Katanya, komitmen PETRONAS itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada beliau selepas kerajaan Sarawak dan PETRONAS menandatangani Perjanjian Penyelesaian Komersial pada 7 Disember lalu.

Selain menyelesaikan isu bayaran Cukai Jualan Negeri produk petroleum dan kawal selia sumber minyak, perjanjian ditandatangani Sarawak dan PETRONAS itu turut membabitkan persetujuan kedua-dua pihak untuk Sarawak terbabit sama dalam operasi PETRONAS melalui anak syarikatnya.

Sarawak menamakan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan PETRONAS.

Mulai tahun depan, Sabah dijangka mengutip Cukai Jualan Negeri produk petroleum bernilai RM1.25 bilion dan ia disenaraikan sebagai antara penyumbang tertinggi hasil Sabah dalam belanjawan tahun depan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *