COVID-19: 2,335 Kes Baharu, 2 Kematian Hari Ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,335 kes baharu COVID-19 dilaporkan di negara ini menjadikan kumulatif 103,900 kes kini direkodkan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu, terdapat 11 kes import yang mendapat jangkitan luar negara.

Beliau berkata, bagi penularan tempatan pula Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 728 kes, diikuti Selangor dengan 710 kes dan Johor iaitu 412 kes.

“Pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan di negara ini sebanyak 20,035 kes.

“Sehingga kini seramai 108 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 50 daripadanya masih memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat dua kes kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif 451 kematian disebabkan COVID-19 bersamaan 0.43 daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 874 kes pulih dilaporkan, menjadikan kumulatif 83,414 kes pulih di negara ini bersamaan dengan 80.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1018