Covid-19: Daerah Kudat Kini Zon Merah

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 225 kes positif baharu Covid-19, dua kematian dan satu kluster baharu pada hari ini.

Kluster baharu ini adalah kluster Pompod yang dikesan di Kota Belud dengan empat kes positif. Setakat ini sebanyak 19 kes positif dilaporkan dalam kluster ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, dua kematian hari ini masing-masing dilaporkan di Lahad Datu dan Sandakan.

Kes kematian di Lahad Datu membabitkan lelaki warganegara berusia 76 tahun sementara di Sandakan membabitkan lelaki bukan warganegara berusia 65 tahun.

Daripada 225 kes baharu hari ini, Lahad Datu mencatatkan kes tertinggi dengan 40 kes, diikuti dengan Sandakan (34), Penampang (30), Kota Kinabalu (29), Ranau (20), Putatan (13), Papar (8), Keningau (8), Tawau (7), Kudat (6), Sipitang (6), Kota Belud (5), Tuaran (5), Semporna (4), Beluran (3) dan dua kes masing-masing di Kunak, Kinabatangan dan Telupid. Manakala, satu kes di Kalabakan.

Hari ini Kudat bertukar dari zon jingga kepada zon merah, iaitu daerah ke-12 yang berada dalam zon merah.

Masidi berkata, daripada 225 kes positif itu, sebanyak 125 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 47 kes, saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 38 kes, saringan komuniti satu kes dan 14 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara itu, sebanyak 239 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 33,357 kes. Dengan dua kematian hari ini, bilangan kumulatif kematian di Sabah adalah 257 kes.

Setakat ini, sebanyak 35,640 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,589 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 576 orang di hospital dan 1,013 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 61 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 15 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil Covid-19 di seluruh Sabah ketika ini kekal dengan 6,410 katil dengan peratusan penggunaan adalah 24.76 peratus.

Dalam perkembangan lain, agihan bakul makanan di Sabah setakat ini adalah 303,912 bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3724