Covid-19: 17 Daerah Di Sabah, Masih Zon Merah Dan Jingga

KOTA KINABALU: Zon bahaya Covid-19 di Sabah meningkat mendadak dengan sebanyak 17 daerah berada dalam zon merah dan jingga, mengatasi jumlah zon kuning dan hijau di 10 daerah, semalam.

Ia berikutan peningkatan daerah dalam zon jingga, semalam disebabkan pertambahan kes baharu positif Covid-19 di beberapa daerah yang sebelum ini berada dalam zon kuning.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), enam zon jingga direkodkan, semalam, bertambah dua daerah berbanding empat daerah, kelmarin dan dua daerah pada Selasa,.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, dua daerah beralih dari zon kuning ke zon jingga semalam ialah Beaufort dan Kinabatangan, masing-masing mencatat satu kes baharu.

Katanya, empat daerah sedia ada dalam zon jingga iaitu Kudat, Keningau, Tenom dan Kinabatangan masing-masing merekodkan antara lima hingga 10 kes baharu positif COVID-19, semalam.

Peningkatan zon jingga dari zon kuning itu, secara tidak langsung mengurangkan daerah dalam zon kuning dengan bilangannya menurun kepada sembilan daerah.

“Daerah kekal dalam zon kuning yang turut mencatat kes baharu ialah Kunak dengan 16 kes, Sipitang (empat) dan Beluran (satu).

“Enam daerah selebihnya iaitu Kota Marudu, Pitas, Telupid, Tongod, Kuala Penyu dan Tambunan tidak mencatat sebarang kes, manakala Nabawan kekal satu-satunya daerah dalam zon hijau,” katanya dalam kenyataan media perkembangan semasa Covid-19 Sabah, malam tadi.

Zon merah pula kekal di 11 daerah dengan Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi, sebanyak 58 kes, diikuti Penampang (33), Tawau (29), Lahad Datu (21), Sandakan (19), Ranau (12), Putatan (lapan), Kota Belud dan Papar masing-masing enam kes, Semporna (empat) serta Tuaran (tiga).

Secara keseluruhan, Sabah mencatat 249 kes baharu semalam dengan dua kematian, masing-masing di Semporna dan Sandakan, menjadikan kumulatif setakat ini sebanyak 35,415 kes. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2444