Verdon Letak Jawatan CEO Sabah FC

Verdon Bahanda (tengah) meletak jawatan CEO Sabah FC.

KOTA KINABALU: Skuad Liga Super Sabah belum pun terbentuk, namun pergolakan terus melanda pihak pengurusannya apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Football Club (FC) Sdn Bhd, Datuk Verdon Bahanda mengumumkan meletak jawatan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Verdon melalui akaun Facebooknya, peletakan jawatan yang berkuatkuasa hari ini itu turut membabitkan tugas beliau sebagai pengarah dan pemilik Sabah FC.

Katanya, ia susulan pertemuan beliau dengan Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memaklumkan keputusannya untuk merombak semua kepimpinan SAFA serta Sabah FC.

“Saya sedar, walaupun saya adalah pemilik saham terbesar dalam Sabah FC Sdn Bhd iaitu mempunyai pegangan sebanyak 70 peratus berbanding SAFA yang memiliki 30 peratus, tetapi saya masih perlu mendapatkan mandat dari semua pihak berkepentingan dalam Sabah FC Sdn Bhd untuk membuat keputusan-keputusan kritikal dan keputusan besar walaupun Sabah FC di bawah pemilikan saya.

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya bagi menyediakan semua keperluan Sabah FC termasuk kewangan dari dana saya sendiri bagi musim hadapan dan juga menyelesaikan semua tunggakan hutang SAFA.

“Ramai yang sedar bahawa kehadiran saya dalam Sabah FC adalah untuk menyelamatkan keadaan dengan menyelesaikan beberapa perkara asas bermula dari masalah kewangan dengan menggunakan dana saya sendiri untuk membayar tunggakan hutang yang ditanggung oleh SAFA,” katanya.

Verdon berkata, selepas mendapat hak pemilikan dalam Sabah FC, beliau merasakan semuanya sudah selesai dan boleh menumpukan usaha memantapkan pasukan.

Bagaimanapun, katanya, ‘drama’ yang dicipta oleh beberapa individu dalam SAFA masih belum berakhir sehingga kini.

“Apapun, saya hanya akan menandatangani semua dokumen penyerahan hak saham saya dalam Sabah FC Sdn Bhd kepada SAFA dan peletakan jawatan dalam semua jawatan saya selepas mendapat bayaran balik daripada SAFA untuk semua perbelanjaan yang sudah saya keluarkan sebelum ini.

“Saya dengan ini memohon maaf kepada semua pihak khususnya penyokong Sabah FC sekiranya terdapat kesilapan yang saya lakukan sepanjang tempoh saya mengendali pasukan Sabah FC yang cukup singkat ini.

“Percayalah, apa saja yang saya lakukan adalah usaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dan demi kebaikan bola sepak Sabah walaupun mungkin sebahagian dari keputusan yang saya buat adalah di luar norma kebiasaan rentak pengurusan pasukan sebelum ini.

“Saya mendoakan sentiasa agar Sabah FC terus maju jaya di bawah pengurusan yang baru dan saya yakin, dengan kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai peneraju baru SAFA, ia akan dapat memberikan impak yang besar kepada kemajuan bola sepak Sabah khususnya Sabah FC,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

30734