Kes Gaduh & Tetak Di Beaufort, 2 Lelaki Diburu Polis

Hobalan (kiri) dan Kesavan (kanan) diburu polis. Foto Ihsan Polis

BEAUFORT: Polis giat mengesan dua lelaki yang dipercayai terbabit dengan pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Beaufort Jaya, di sini, kelmarin.

Dua lelaki itu ialah Hobalan N Vello, 37, atau dikenali ‘Jimmy Black’ dan Kesavan Perambalam, 34.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan berkata, suspek pertama iaitu Hobalan mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau membabitkan tiga kes jenayah pada 2003 hingga 2004 dan juga terbabit dengan kumpulan kongsi gelap Geng 24 di kawasan Klang, Selangor.

Katanya, suspek juga pernah dikenakan perintah tahanan di bawah Ordinan Darurat dan Keselamatan Awam dan Mencegah Jenayah pada 2007 dan ditahan selama setahun di penjara Simpang Renggam.

“Bagi suspek kedua (Kesavan) pula, mempunyai lapan rekod lampau pelbagai kesalahan undang-undang.

“Buat masa ini, pasukan polis sedang giat mengesan kedua-dua suspek terbabit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, di sini, hari ini.

Mazli berkata, hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian, polis menemui barang kes iaitu satu utas tali pinggang, empat parang dan satu kapak.

“Serbuan pasukan polis juga menemui sejumlah minuman keras, rokok pelbagai jenama tanpa cukai kastam di premis berkenaan.

“Siasatan masih diteruskan dan mohon saksi di tempat kejadian tampil membantu siasatan polis. Suspek yang dikehendaki diminta menyerah diri kepada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Mazli berkata, kejadian pergaduhan ini tiada kena mengena dengan isu perkauman selain lebih kepada perselisihan faham semata-mata.

Dalam kejadian 11.40 malam, Jumaat lalu, seorang lelaki parah selepas ditetak menggunakan parang manakala seorang lagi turut cedera di kepala disyaki akibat dilibas menggunakan kepala tali pinggang.

Siasatan awal polis mendapati punca pergaduhan itu tercetus selepas seorang pelanggan yang datang bersama tiga rakannya untuk membeli minuman keras bertengkar mulut dengan pemilik restoran. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

22020