Dua Beranak Ditahan Edar Syabu Di Lahad Datu

Dadah jenis syabu yang dirampas sepasukan polis di Kampung Cocos, Lahad Datu. Foto Ihsan PDRM

LAHAD DATU: Seorang lelaki 60 tahun dan anak lelakinya berusia 18 tahun ditahan mengedar dadah dalam kebun kelapa sawit di Kampung Cocos dekat sini, jam 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad, berkata kedua-dua mereka ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dengan dibantu anggota Balai Polis Desa Kencana dan Tambisan.

“Susulan penahanan dua beranak itu, polis turut merampas beg plastik warna hitam mengandungi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 501.60 gram bernilai RM50,160.

“Turut dirampas sebuah kereta Proton Saga BLM dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM79,160,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan Shah berkata, kedua-dua mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hidup dengan hasil upah mengedar dadah di sekitar daerah ini.

“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *