Covid-19: Kluster Baharu Dikesan Di Telupid Dan Ranau

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah hari ini menurun kepada 184 kes, dengan dua kematian serta satu kluster baharu dilaporkan.

Kes positif di Sabah ini menurun sebanyak 84 kes, berbanding 268 kes positif yang dilaporkan semalam.

Kluster baharu iaitu kluster Maringkan dikesan di daerah Telupid dan Ranau dimana 11 kes positif telah dikesan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua daripada tiga kes kematian hari ini adalah di Sabah. Ia membabitkan lelaki warganegara berusia 55 tahun yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth dan seorang lelaki bukan warganegara berusia 81 tahun yang meninggal dunia di luar hospital dan jenazahnya dibawa ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Manakala, satu lagi kematian membabitkan lelaki warganegara berusia 36 tahun dilaporkan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Johor

Noor Hisham berkata, dengan tambahan tiga kematian itu menjadikan kes kematian dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 432 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 249 kes.

Hari ini terdapat tiga kluster baharu termasuk satu kluster di Sabah. Kluster lain adalah kluster Jalan Rusa, Kuala Lumpur dengan 129 kes positif setakat ini dan kluster Tapak Bina Pasifik juga di Kuala Lumpur dengan 17 kes positif.

Secara keseluruhan sebanyak 1,220 kes positif baharu di laporkan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 1,214 kes jangkitan tempatan dan enam kes import.

Sementara, bilangan kes pulih hari ini sebanyak 1,297 kes, dengan kumulatif kes pulih sebanyak 74,030 kes.

Tambahan 1,220 kes baharu hari ini menjadikan kumulatif kes di Malaysia adalah 89,133 kes. Sebanyak 14,671 kes aktif dengan 106 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 53 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4690