ESSCOM Tumpas 40 Penyeludup Melalui OCP Daratan

LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menahan 40 individu membabitkan 25 kes berkaitan penyeludupan dadah dan rokok di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dalam tempoh dua bulan ini.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata kejayaan itu hasil atur gerak Operasi Cegah Pati (OCP) Daratan yang dilaksanakan sejak 7 Oktober lalu sebagai barisan kedua penguatkuasaan keselamatan selepas OCP Laut.

“Daripada tangkapan itu, sebanyak RM3.17 juta dadah serta RM1.05 juta rokok dan barang kawalan seludup berjaya dirampas.

“Kejayaan yang dicapai ESSCOM ini hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke OCP Daratan Zon Timur di Tanjung Labian di sini, hari ini.

Ahmad Fuad berkata dalam tempoh sama, 10 tekong darat dan laut serta 58 pendatang haram turut ditangkap atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan RM1.19 juta.

“Selain itu, 33 pendatang Indonesia turut diarahkan berpatah balik dan diiring keluar dari sempadan Malaysia,” katanya lagi.

Menurutnya, atur gerak antara pasukan keselamatan membolehkan perkongsian kepakaran, logistik, kemudahan radar digunakan secara berkesan dalam OCP Daratan bagi memantau 62 kawasan panas di ESSZONE.

Dalam pada itu, beliau berkata inisiatif OCP Daratan berjaya mengurangkan kemasukan pendatang haram dan kes penyeludupan dari negara jiran.

Katanya, bukti ketara apabila bot-bot mencurigakan termasuk bot tekong laut semakin kurang dikesan melalui radar ATM di perairan ESSZONE. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *