WARISAN Mahu Lebarkan Sayap Ke Semenanjung Dengan Semangat ‘Unity’ – Shafie Apdal

Kata Mohd Shafie, sudah sampai masanya Warisan melebarkan ideologi kepelbagaian kaum dan agama itu ke Semenanjung.

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan melebarkan sayapnya ke Semenanjung dalam usaha mengukuhkan parti itu termasuk sama-sama terlibat dalam pembuat keputusan dan pentadbiran Malaysia.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sudah sampai masanya Warisan melebarkan ideologi kepelbagaian kaum dan agama itu ke Semenanjung.

Tegasnya, langkah itu merupakan hala tuju ke hadapan Warisan selain yakin moto ‘unity’ yang dibawa boleh diterima rakyat Semenanjung.

“Kalau UMNO boleh bertapak di Sabah… kalau Amanah boleh bertapak di Sabah kepada tidak Warisan melebarkan sayap ke Semenanjung.

“Tiba masanya kita bukan sahaja melihat kepada Sabah sahaja tetapi juga menjadi kuasa dalam pembuat keputusan dan pentadbiran kepada negara,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan di Dewan Hakka Kota Kinabalu pada Sabtu.

Dalam ucapan itu, bekas Ketua Menteri Sabah itu menjelaskan bahawa penubuhan Warisan pada 2016 bukan mahu bersama-sama dalam komponen Pakatan Harapan (PH).Sebaliknya, kata Mohd Shafie, Warisan bersedia untuk bekerjasama dengan PH sebagai PH plus.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia kini berdepan dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi.

“Ketidakstabilan politik negara itu adalah disebabkan oleh perebutan kuasa… berebut mahu menjadi Perdana Menteri. Manakala ketidakstabilan ekonomi disebabkan pandemik COVID-19,” katanya. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2356