Penyeludup Rokok Rempuh Kereta Polis Elak Ditahan

Kenderaan digunakan suspek yang sarat dengan muatan rokok seludup beraya dikesan anggota PPM dalam Ops Gelora Khas, semalam. Gambar Ihsan PPM

TAWAU: Bimbang ditahan kerana membawa rokok seludup, seorang pemandu kenderaan nekad merempuh bahagian hadapan kereta anggota Pasukan Polis Marin (PPM).

Kereta jenis Perodua Kancil digunakan suspek berjaya ditemui bersama pelbagai rokok seludup dianggarkan bernilai hampir RM30,000 namun pemandu kenderaan itu berjaya meloloskan diri.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, dalam operasi sekitar jam 7.15 pagi semalam itu, pihaknya berjaya merampas 160 karton rokok pelbagai jenama di kawasan perkampungan atas di Jalan Apas, dekat sini.

Menurutnya, semua bermula apabila pihaknya mengekori kenderaan dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Anggota (polis) kemudian mengarahkan pemandunya supaya berhenti untuk tujuan pemeriksaan.

“Bagaimanapun ketika cuba dihampiri, suspek melanggar bahagian hadapan kenderaan anggota PPM sebelum melarikan diri ke kawasan perkampungan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Nazari berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kereta yang ditinggalkan suspek menemukan beberapa kotak dan bungkusan plastik yang didalamnya mengandungi rokok seludup. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *