Tidak Boleh Tunggu Kes Sifar Baru Buka Sektor Ekonomi – Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak boleh menunggu sehingga kes Covid-19 mencecah sifar baru benarkan sektor ekonomi untuk beroperasi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kelonggaran perlu diberikan semasa lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membenarkan sektor-sektor ekonomi beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, selama tujuh hingga lapan bulan lalu komuniti peniaga berdepan dengan kerugian dalam perniagaan dan ingin memulakan semula perniagaan.

Katanya, dalam usaha memerangi Covid-19 ini, kerajaan bukan hanya ingin memulihkan kesihatan manusia tetapi juga ingin memulihkan ekonomi. Kedua-dua usaha ini perlu bergerak seiring.

Berkaitan dengan SOP pengurusan nikah, cerai dan rujuk di Sabah, Masidi berkata, upacara akad nikah dibenarkan di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), dewan atau bilik khas dalam masjid serta premis dibenarkan agensi berkaitan.

Untuk upacara di pejabat Jheains terhad kepada tiga orang iaitu pasangan pengantin dan wali. Manakala, di premis lain yang dibenarkan had maksimum adalah 20 orang sahaja.

SOP lain yang berkaitan boleh dirujuk di laman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 negeri. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2312