Menyamar Inspektor Polis Untuk Yakinkan Keluarga Teman Lelaki

Pakaian digunakan oleh suspek yang menyamar sebagai anggota polis wanita berkenaan setelah ditangkap di kampung Bukit Bator.

Bachok: Seorang wanita sanggup menyamar sebagai inspektor polis dipercayai untuk mencari jodoh selain meyakinkan keluarga teman lelakinya.

Bagaimanapun, helah suspek berusia 20 tahun yang berasal dari Sabah itu terbongkar selepas ditahan polis, kelmarin di sebuah rumah di Kampung Bukit Bator, di sini.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, penahanan itu dilakukan susulan aduan yang diterima daripada keluarga teman lelaki suspek yang curiga dengan kelakuannya sepanjang menumpang di rumah mereka.

Katanya, wanita itu datang Kelantan dan terlebih dahulu menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Sebaik tamat tempoh kuarantin, wanita berkenaan menumpang di rumah teman lelakinya yang juga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Bachok selama seminggu dan turut membawa pakaian operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang tertera nama Humairah pada pakaian itu.

Kenderaan digunakan oleh suspek yang menyamar sebagai anggota polis wanita berkenaan setelah ditangkap di kampung Bukit Bator pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok.

“Wanita ini datang dari Sabah dan menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum ke rumah mereka di saat kenalan lelakinya itu di Kuala Lumpur menghadiri kursus dan bekerja sebagai tentera,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, hari ini.

“Dalam tempoh itu, wanita terbabit mendakwa dia seorang pegawai polis berpangkat inspektor, namun tindakannya menimbulkan curiga kepada keluarga berkenaan termasuk, wanita itu boleh bercuti dalam tempoh lama.

“Susulan itu, keluarga berkenaan tampil membuat aduan kepada pihak polis sebelum wanita terbabit ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Bachok di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai kesalahan lampau berkaitan kes sama pada 2017 di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Kita tidak menolak kemungkinan suspek menyamar sebagai inspektor polis untuk mencari jodoh, selain mampu meyakinkan keluarga teman lelakinya.

“Hasil tangkapan itu, polis turut merampas pakaian operasi PDRM dan suspek direman sehingga Sabtu ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan tambahan Seksyen 89 (c) Akta Polis 1967 kerana memiliki peralatan polis ,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5181