Boleh Makan Di Restoran Ikut Kapasiti Meja

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan membenarkan pelanggan untuk menikmati hidangan di restoran mengikut saiz atau kapasiti meja makan bermula hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran ini membolehkan mereka yang berkeluarga dapat makan bersama di restoran tanpa perlu mengasingkan meja.

Menurutnya, kerajaan prihatin dengan rungutan rakyat yang terpaksa makan berasingan meja walaupun datang menaiki kereta yang sama.

“Kerajaan berikan kelonggaran ini asalkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal antara satu sama lain.

“Kelonggaran dibuat selaras dengan kelonggaran kapasiti penumpang kenderaan yang dibenarkan sebelum ini,” katanya dalam sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sudah 267 hari perlaksanaan Perintah Kawlaan Pergerakan (PKP) dan 183 hari PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di negara ini.

Katanya, kelonggaran bermula Isnin lalu bukan ‘lampu hijau’ untuk rakyat terus alpa dan tidak mengamalkan SOP dan bukan bermakna Covid-19 sudah berakhir.

“Saya menjangkakan minggu ini jalan raya akan sesak kerana orang ramai akan pulang ke kampung atau membawa keluarga bercuti setelah sekian lama tidak dapat berbuat demikian.

“Jadi, kita harus terus patuh mengikut SOP dan kejayaan untuk melawan Covid-19 sangat penting dan terus menjaga keselamatan diri saja mampu mengubah keadaan menjadi lebih baik.

“Kelonggaran yang diberi kerajaan ini juga adalah kerana kita harus seimbangkan antara kesihatan dan ekonomi sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi negara terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan keluarga,” katanya.

Katanya, kehidupan normal baharu yang kita amalkan kini perlu diteruskan tidak kira di mana kita berada kerana kita bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesihatan dan keselamatan ahli keluarga serta orang ramai.

Tambahnya, harus diingatkan bahawa vaksin terbaik menangani Covid-19 adalah diri kita sendiri. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *