Lelaki Meninggal Dunia Selepas Hakim Jatuhkan Hukuman

Pasukan perubatan menjalankan pemeriksaan terhadap mangsa. Gambar Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Seorang pesalah narkotik yang pengsan selepas hakim membacakan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya disahkan meninggal dunia, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, pesalah dikenali sebagai Hadirun, 42, yang ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu untuk penghakiman.

Bagaimanapun, sebaik hakim menjatuhkan hukuman terhadapnya, lelaki berkenaan tiba-tiba rebah sehingga mengejutkan petugas mahkamah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, pihak polis mahkamah kemudiannya segera menghubungi pihak ambulans untuk tindakan segera.

Katanya, lelaki itu kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Orang Kena Tahan (OKT) ini disahkan meninggal dunia pada jam 12.06 tengah hari dan kematiannya dipercayai disebabkan serangan jantung.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, OKT berasal dari Buton, Indonesia dan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, mahkamah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan diarahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas hukuman selesai untuk pengusiran. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *