COVID-19: Sandakan Catat Kematian Tertinggi Di Sabah

KOTA KINABALU: Daripada 218 kes kematian Covid-19 dilaporkan di Sabah setakat semalam, Sandakan merekodkan bilangan kes kematian tertinggi dengan 65 kes.

Setakat hari ini, bilangan kes Covid-19 direkodkan di Sandakan adalah 4,245 kes positif.

Manakala, Kota Kinabalu yang merekodkan 52 kes kematian, Tawau dengan 31 kes dan 28 kes kematian di Semporna.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, empat daerah itu merekodkan bilangan kes kematian tertinggi berbanding daerah lain di Sabah.

Beliau berkata, daripada 218 kematian yang direkodkan, 163 kes melibatkan warganegara dan 55 kes membabitkan bukan warganegara.

Beliau berkata demikian semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Untuk hari ini, 248 kes positif baharu dilaporkan di Sabah dengan dua kematian.

Daerah Sandakan mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 59 kes positif diikuti dengan Kota Kinabalu (50); Penampang (43), Lahad Datu (24), Tuaran (21), Tawau (13), Putatan (10), Keningau (7) dan empat kes di Semporna, Beluran dan Pitas.

Sementara, tiga kes di Papar, Tambunan (2) dan masing-masing satu kes di Kudat, Kota Belud, Kalabakan dan Kinabatangan.

Daripada 248 kes positif, sebanyak 126 kes dikesan daripada saringan kontak rapat di 14 daerah. Manakala, 61 kes daripada saringan kluster sedia ada, saringan bergejala 36 kes, saringan komuniti tujuh kes dan 18 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sementara, sebanyak 299 kes pulih dilaporkan, dengan kumulatif kes sebanyak 27,801 kes.

Setakat ini, sebanyak 30,786 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,990 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 627 orang di hospital dan 1,363 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Dengan dua kes kematian dilaporkan hari ini, kumulatif kematian di Sabah menjadi 220 kes.

Terdapat 70 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 27 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil Covid-19 di seluruh Sabah ketika ini kekal 5,777 katil dengan peratusan penggunaan 29.24 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1697