Selepas 24 Jam Berstatus Zon Hijau, Kota Marudu Kembali Zon Kuning

KOTA KINABALU: Daerah Kota Marudu yang bertukar zon hijau semalam, kembali ke zon kuning selepas mencatat satu kes positif Covid-19, hari ini.

Ia menjadikan daerah dalam zon hijau di Sabah berkurang kepada dua dengan Tenom dan Sipitang kekal tiada sebarang kes aktif direkodkan setakat hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata, sebanyak 11 daerah berada dalam zon kuning hari ini dengan 10 daerah tidak mencatat sebarang kes.

“Daerah terbabit ialah Kuala Penyu, Kalabakan, Telupid, Beaufort, Kinabatangan, Tongod, Ranau, Kunak, Tambunan dan Tenom,” katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19 Sabah, malam ini.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, sebanyak 14 daerah kekal berada dalam zon merah dengan Kota Kinabalu mencatat kes positif tertinggi sebanyak 74, diikuti Sandakan (44), Lahad Datu (43), Tuaran (30) dan Penampang (25).

Daerah lain ialah Tawau sebanyak 11 kes, diikuti Putatan (enam), Semporna (empat), Keningau (tiga), Kudat (dua), Kota Belud (dua), Beluran (dua) dan Papar (satu).

Secara keseluruhan katanya, Sabah mencatat 250 kes baharu positif Covid-19 hari ini menjadikan kumulatif kes setakat ini sebanyak 30,538 kes.

“Tiada kes kematian pada hari ini, manakala seramai 193 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh setakat ini seramai 27,502 orang.

“Sejumlah 2,013 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 615 orang di hospital dan 1,398 orang di Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) dengan 63 orang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 27 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Katanya, Sabah turut merekodkan satu kluster baharu hari ini iaitu Kluster Pulau Berhala di Sandakan dengan sebanyak 23 kes baharu direkodkan menjadikan kumulatif 24 kes.

Sementara itu, beliau berkata, daripada 250 kes positif Covid-19 hari ini, sebanyak 107 kes atau 42.8 peratus adalah berpunca daripada saringan kontak rapat di 11 daerah, manakala 60 kes atau 24 peratus adalah daripada saringan kluster baharu.

Selebihnya, adalah saringan bergejala sebanyak 29 kes atau 11.6 peratus, saringan komuniti sebanyak 32 kes atau 12.8 peratus dan 22 kes atau 8.80 peratus daripada kategori lain.

Sementara itu, Masidi berkata, hari terakhir sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan pihak polis hari ini menyaksikan sebanyak 62 daripada 46,698 kenderaan yang diperiksa di 65 SJR diarah berpatah balik dengan 17 kompaun kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan.

“Bermula esok, tiada lagi sekatan jalan raya oleh polis. Bagaimanapun, polis akan terus membuat pemantauan ketat SOP di semua lokasi dan tempat tumpuan awam,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4210