Pemancing Ditemui Lemas, Bot Karam Dipukul Ombak

Bot fiber mangsa terbalik dan karam selepas dipukul ombak. Gambar ihsan Polis

TUARAN: Pemancing yang dilaporkan hilang pagi tadi selepas bot dinaiki bersama tiga rakan karam dipukul ombak di muara Sungai Kampung Bolong, di sini, ditemukan lemas.

Mayat Manji Baka, 50, yang juga pemandu serta pemilik bot fiber itu ditemui orang awam kira-kira 300 meter dari lokasi bot dipercayai karam.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak memakai jaket keselamatan.

Katanya, berdasarkan keterangan rakan mangsa, mereka bergerak dari jeti Kampung Simpangan seawal jam 8 pagi untuk memancing.

“Namun, sebaik tiba di muara Sungai Kampung Bolong, bot dinaiki mereka dipukul ombak sebanyak tiga kali dan menyebabkan bot merempuh beting pasir lalu terbalik dan karam.

“Tiga rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri masing-masing dengan berenang sehingga ke persisiran pantai namun seorang lelaki hilang sebelum ditemui jam 5.28 petang tadi,” katanya.

Menurutnya, orang awam kemudiannya menghantar mangsa ke hospital Tuaran sebelum disahkan meninggal dunia.

“Bedah siasat dijalankan bagi mengetahui punca sebenar,” katanya.

Pada jam 9.23 pagi tadi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bagi mengesan mangsa di keluasan lima batu nautika persegi dari lokasi akhir mangsa dipercayai hilang. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2514