5 Anggota Bomba Lintas Positif COVID-19

Gambar fail, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas di sini, ditutup sementara berikutan lima pegawai dan anggota disahkan dijangkiti COVID-19.

Semua anggota dan pegawai di balai berkenaan diarahkan menjalani kuarantin untuk mengawal penularan wabak berkenaan.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan sebarang operasi kecemasan berikutan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melaksanakan penugasan bantuan keanggotaan dari balai berhampiran.

Pengarah JBPM Sabah, Kamarulzaman Malik Abdullah, berkata siasatan mendapati, penularan wabak itu dipercayai berpunca daripada ahli keluarga salah seorang anggota sebelum merebak kepada empat yang lain sejak 25 November lalu.

“Kita hanya menutup operasi BBP Lintas sekejap untuk proses sanitasi sebelum dibuka semula dengan penugasan khas anggota dan pegawai daripada BBP Kota Kinabalu, BBP Penampang dan BBP Tuaran,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, ia sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan, lebih-lebih lagi ketika hujung tahun yang sering berlaku banjir.

Katanya, JBPM juga menyediakan pelan kontigensi untuk bantuan kepada kawasan berisiko banjir seperti Kota Belud dan Beaufort.

“Contohnya, sekiranya berlaku banjir di Kota Belud, kita akan membuat bantuan penugasan daripada bahagian utara seperti BBP Kudat, BBP Kota Marudu dan BBP Ranau.

“Begitu juga sekiranya berlaku banjir di Beaufort, JBPM akan menggerakkan bantuan daripada BBP Sipitang dan BBP Keningau termasuk BBP Kota Kinabalu,” katanya.

Sehubungan itu, Kamarulzaman mengingatkan semua anggota dan pegawai bertugas supaya sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP). – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3440