KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menamatkan semua sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara, bermula tengah malam ini.
Ini susulan keputusan kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan memberi kebenaran rentas negeri dan daerah.
Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam sidang medianya, semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar, berkata penutupan kesemua SJR oleh PDRM itu akan dilaksanakan bermula jam 12.01 tengah malam ini.
“Bagaimanapun, SJR untuk Operasi Benteng (Op Benteng) akan tetap diteruskan.
“Tumpuan kita selepas ini adalah meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya kepada BH, hari ini.
Tambah beliau, PDRM akan meningkatkan jumlah pasukan penguatkuasan pematuhan SOP dan mengguna pakai khidmat anggota di SJR sebelum ini untuk tujuan itu.
Dalam pada itu, beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus bersama PDRM dalam melaksanakan tugasan di SJR Op Benteng yang akan terus dilaksanakan di seluruh negara.
Ismail Sabri pada sidang media semalam, memaklumkan pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), bermula esok.
Katanya, polis tidak lagi akan melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan SOP. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost