Mesyuarat Sulung Majlis Khas MA63 Bentuk 3 Jawatankuasa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili

KOTA KINABALU: Ahli Jawatankuasa Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang bermesyuarat kali pertama hari ini membentuk tiga jawatankuasa yang akan memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata persidangan itu yang berlangsung di Kuala Lumpur turut menetapkan ahli majlis dan terma rujukannya.

“Majlis meluluskan pembentukan tiga jawatankuasa yang akan mengurus hal berkaitan perlembagaan dan status sama rata, keselamatan dan pendatang asing tanpa izin serta sosioekonomi, termasuk pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Majlis Khas MA63 dianggotai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi; Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan lapan menteri kanan Kabinet termasuk Maximus dan timbalannya, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Maximus berkata, turut menganggotai majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, Peguam Negara dan Peguam Besar kedua-dua negeri serta beberapa pegawai kanan kerajaan dan ahli akademik.

“Ahli majlis diberi penerangan mengenai perkembangan terkini dan tindakan yang diambil berkaitan MA63 selain keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kabinet sebelum ini,” katanya.

Katanya, 17 daripada 21 isu yang dikenal pasti oleh majlis berkenaan diberi pertimbangan terperinci, manakala baki empat lagi isu masih dalam perbincangan.

“Daripada 17 itu pula, sebanyak tiga dianggap sudah diselesaikan iaitu cukai eksport kayu balak dan hasil hutan dari Sabah; isu Pulau Ligitan dan Sipadan serta isu perhutanan.

“Baki 14 lagi yang antaranya merangkumi isu gas, buruh dan duti setem, memerlukan perbincangan lanjut kerana ia membabitkan pindaan terhadap peraturan dan undang-undang.

“Ketika ini, laporan Jawatankuasa Khas MA63 tidak akan diumumkan kerana hasil perbincangan di antara kerajaan negeri dan persekutuan belum lagi selesai,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri dan Persekutuan boleh mendedahkan laporan atau perkara utama yang dipersetujui semua pihak.

Majlis Khas MA63 dipersetujui Kabinet pada 9 September lalu sebelum diumumkan oleh Muhyiddin pada sambutan Hari Malaysia di Sibu pada 16 September lalu. –BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *