i-Sinar: KWSP Umum 2 Kategori Ahli Yang Layak Memohon

Kategori tersebut katanya boleh mula membuat permohonan secara dalam talian pada 21 Disember ini, dengan pembayaran kepada ahli yang layak akan dibuat pada pertengahan Januari 2021

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dua kategori membabitkan lapan juta ahlinya yang layak memohon skim i-Sinar.

KWSP dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, Kategori 1 melibatkan mereka yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Pemohon kategori tersebut katanya, boleh mula membuat permohonan secara dalam talian pada 21 Disember ini, dengan pembayaran kepada ahli yang layak akan dibuat pada pertengahan Januari 2021.

“Kriteria bagi Kategori 1 adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama 2 bulan berturut-turut semasa permohonan atau.

“Ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

“Bagi kategori ini tiada dokumen sokongan diperlukan dan Kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP,” katanya dalam kenyataan tersebut, di sini pada Rabu.

Jelas KWSP, bagi Kategori 2 pula, pemohon boleh membuat permohonan bermula pada 11 Januari 2021.
“Kategori ini adalah untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas.

“Ia termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020, yang mana pengurangan tersebut hanya boleh dikenalpasti melalui dokumen yang diberikan.

“Untuk melancarkan proses pengesahan, KWSP memerlukan dokumen sokongan daripada ahli iaitu slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan.

“Notis pemberhentian atau pemotongan elaun atau tuntutan kerja lebih masa.

“Jika dokumen tersebut tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan,” tambah KWSP.

Menurut KWSP lagi, status permohonan akan dimaklumkan kepada ahli dalam masa dua hingga tiga minggu selepas permohonan dibuat.

Sementara, pembayaran akan dilaksanakan sebelum akhir bulan berikutnya, selepas kelulusan diberi, kata KWSP.

Jumlah kelayakan i-Sinar tertakluk kepada baki simpanan Akaun 1 ahli berdasarkan butiran terkini seperti berikut:

a. Ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

b. Ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun 1 boleh membuat pengeluaran maksimum 10% atau RM60,000 (yang mana lebih rendah) daripada Akaun 1.

Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan program i-Sinar diperluaskan kepada lapan juta orang berbanding dua juta ahli yang layak.

Selain itu, jumlah pengeluaran maksimum turut dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM10,000 bagi mereka yang mempunyai RM90,000 dan ke bawah dalam akaun 1, membabitkan peruntukan RM70 bilion.

Manakala, ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM90,000 dalam akaun 1, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000.

Ia bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3889