1,472 Kes Baharu COVID-19, 3 Kematian Dilaporkan Hari Ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,472 kes baharu covid-19 dan 3 lagi kematian yang dilaporkan pada hari ini.

Menerusi kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan yang dikeluarkan KKM, 1472 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan meningkat kepada 67,169 kes secara keseluruhan.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat lima (5) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala 1,467 kes pula adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah sebanyak 10,495 kes.

Walaupun begitu, KKM menegaskan bahawa secara keseluruhan dalam tempoh seminggu yang lepas, negeri-negeri di seluruh Malaysia telah menunjukkan jumlah pelaporan kes harian yang lebih stabil.

Menurut KKM, kes-kes yang dilaporkan kebelakangan ini hanyalah berpunca daripada tapak binaan dan kilang. Angka yang tinggi ini adalah susulan perluasan pengesanan kes secara aktif dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan di lapangan.

KKM melaporkan bahawa Kluster Teratai sahaja pada hari ini telah melaporkan sebanyak 778 kes (52.9 peratus) daripada keseluruhan jumlah kes harian untuk negara dan menyumbang kepada 87.3 peratus daripada kes harian yang dilaporkan di negeri Selangor (891 kes).

Sejak diumumkan pada 7 November 2020, sejumlah 6,603 individu telah disaring bagi Kluster Teratai. Daripada jumlah ini, sebanyak 5,056 kes telah dikesan positif COVID-19 yang melibatkan 331 (6.5 peratus) warganegara dan 4,725 (93.5 peratus) kes adalah bukan warganegara.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memaklumkan bahawa pada hari ini bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,552 kes.

Daripada jumlah bilangan itu, jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 meningkat kepada 56,311 kes(83.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sementara itu, KKM memaklumkan bahawa sehingga kini terdapat 120 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana44 kesmemerlukan bantuan pernafasan.

Selain daripada itu juga, KKM juga turut mengesan dua kluster baharu pada hari ini iaitu Kluster View Kolombong dan Kluster Talang-Talang.

  • KLUSTER VIEW KOLOMBONG

Kluster ini melibatkan  daerah Kota Kinabalu dan Tuaran di Sabah. Kes indeks (iaitu kes ke-65698) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 1 Disember 2020 hasil saringan individu bergejala. Sehingga 1 Disember 2020, sejumlah 76 individu telah disaring, di mana 40 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

  • KLUSTER TALANG-TALANG

Kluster ini melibatkan daerah Kota Kinabalu di Sabah. Kes indeks (iaitu kes ke-55008) telah dilaporkan positif COVID-19 pada 23 November 2020 hasil saringan individu bergejala. Sehingga 1 Disember 2020, sejumlah 67 individu telah disaring, di mana 18 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Sumber: KKM

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *