Warga Pakistan Ditahan ‘Tapuk’ Rokok Seludup Di Sebalik Kedai Runcit

Foto PPM W4 Sabah

KOTA KINABALU: Seorang warga Pakistan ditahan, manakala sebanyak 8,480 batang rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM30,400 dirampas dalam Op Terancang di sebuah rumah kedai di Pulau Gaya, di sini, semalam.

Lelaki berkenaan ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu pada 2 petang, hasil maklumat awam.

Anggota PPM Kota Kinabalu menunjukkan rokok seludup yang dirampas bersama suspek warga Pakistan. Foto PPM W4 Sabah

Rokok berkenaan ditemui disembunyikan di sebalik susunan barangan runcit dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan Anak Lageh berkata, operasi itu memberi tumpuan terhadap penyeludupan dan penjualan rokok tidak bercukai.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas rumah kedai tidak bernombor, kami menemui pelbagai jenis rokok yang disembunyikan di sebalik susunan barangan runcit.

“Namun taktik itu berjaya dikesan selepas penggeledahan secara teliti dijalankan. Seorang warga Pakistan berusia lingkungan 24 tahun yang juga penjaga premis berkenaan ditahan untuk bantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, keseluruhan nilai rampasan rokok selepas taksiran cukai kastam adalah dianggarkan berjumlah RM30,400.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri.

Turut dirampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan di bawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama dan jika sabit kesalahan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

5677