Aktiviti Menyelam Kini Dibenarkan Di Sabah

Aktiviti menyelam kini dibenarkan di Sabah mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Aktiviti menyelam kini dibenarkan di Sabah mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata perkara mengenai diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan cadangan oleh kerajaan negeri.

“Sidang Khas MKN telah bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri membenarkan aktiviti menyelam di negeri Sabah.

“Justifikasi cadangan ini adalah kerana aktiviti menyelam (scuba diving) dikategorikan sebagai aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal.

Masidi Manjun

“Aktiviti menyelam ini boleh dilaksanakan dengan syarat bot yang membawa penyelam ke lokasi selaman tidak melebihi 30 peratus daripada muatan bot bagi memastikan ada penjarakan fizikal,” katanya menerusi sidang media maya di Kota Kinabalu pada Isnin.

Berkenaan SOP khusus bagi aktiviti menyelam katanya ia akan dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Dalam sidang media harian mengenai COVID-19 tersebut masidi turut memaklumkan berkenaan tiga lokaliti baharu melibatkan dua daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan KKM, sidang khas MKN hari ini bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk melaksanakan PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan bermula 2 Disember 2020 sehingga 15 Disember 2020.

“Pelaksanaan dibuat selepas KKM mengesahkan terdapat 104 kes kumulatif positif COVID-19 hasil saringan sebanyak 324 yang melibatkan tahanan dan anggota PTS Sibuga,” katanya.

Jelasnya, pelaksanaan PKPD ini melibatkan seramai 1,209 individu yang terdiri daripada 1,104 tahanan dan 105 anggota.
“Bagi tujuan yang sama juga sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kg. Desa Bajau dan Kg. Dasar Baru, Lahad Datu bermula 2 Disember 2020 sehingga 15 Disember 2020.

“KKM telah melaksanakan sebanyak 665 saringan dan telah merekodkan 90 kes kumulatif positif COVID-19 di kedua-dua lokaliti ini.

“Pelaksanaan PKPD ini melibatkan 914 buah rumah dengan jumlah 4,934 orang penduduk.”katanya.
a
Sehingga 30 November 2020, sebanyak 10 lokaliti masih berada di bawah PKPD melibatkan beberapa daerah manakala 24 lokaliti telah tamat PKPD.

Pada Isnin jumlah kes positif baharu COVID-19 adalah sebanyak 326 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 28,771 kes dan satu kes kematian direkodkan di daerah Lahad Datu. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

884