‘Betul, Ayah Saya Berusia 130 Tahun’

Kimri bersama bapanya yang berusia 130 tahun. Gambar ihsan Kimri Talib

KOTA KINABALU: “Betul, ayah saya berusia 130 tahun berdasarkan dokumen yang dia ada.

Di usia itu, ayah sihat malah boleh menziarahi saya di Kota Kinabalu pada Syawal lalu,” kata Kimri Talib, 49, anak kepada Allahyarham Talib Omar yang dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam laporan harian Covid-19 menyatakan empat kematian direkodkan dengan salah seorang mangsa berusia 130 tahun.

Lelaki bukan warga negara itu yang juga kes ke-35,037 disahkan meninggal dunia di Hospital Tuaran, Sabah.

Bagaimanapun, timbul pelbagai persoalan berhubung usia mangsa itu malah ada menyatakan mungkin berlaku kesilapan pada laporan yang disediakan KKM.

Berdasarkan Guinness World of Records, individu tertua dikenali sebagai Jeanne Louise Calment yang meninggal dunia pada usia 122 tahun pada 1997.

Kimri berkata, bapanya tidak meninggal dunia semalam seperti dilaporkan sebaliknya pada 3 November lalu semasa dia menziarahi arwah di Taman Telipok Ria, di sini.

Menurutnya, bapanya tinggal bersama saudara di situ.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang gejala Covid-19. Pada hari dia meninggal dunia, saya membantu arwah duduk dan minum susu.

“Tidak lama selepas itu, arwah meninggal dunia semasa duduk. Kami memaklumkan polis mengenai kematian itu dan selepas ujian calitan, baru kami tahu arwah dijangkiti Covid-19,” katanya.

Taman Telipok Ria yang dihuni kira-kira 18,000 penduduk menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 27 November sehingga 10 Disember depan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *