Wawasan 2020 Gagal Sebab Dasar Saya Diubah, Kata Tun M

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan BN jatuh kerana kesilapannya sendiri dan beliau hanya alat untuk rakyat memfokuskan tenaga mereka.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata perubahan pada pelan dan dasar beliau oleh pemimpin selepasnya menyebabkan Malaysia gagal mencapai matlamat Wawasan 2020.

Dalam temu bual yang dirakam sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Mahathir berkata, sewaktu beliau pertama kali menjadi perdana menteri, kerajaan telah membuat keputusan berhubung hala tuju negara dan langkah yang perlu diambil untuk mencapai matlamatnya.

“Apabila saya meletak jawatan, fokus pada pembangunan berbeza, begitu juga dasar. Apabila ia berubah, maka kita gagal mencapai matlamat.

“Dasar yang diperkenalkan selepas saya meletak jawatan jauh berbeza daripada dasar yang saya tentukan dan rancang supaya kita mencapai matlamat,” katanya dalam temu bual yang disiarkan di Facebook.

Mahathir berkata, walaupun berlaku perubahan, negara masih mencapai banyak kemajuan meskipun ia bukan pada paras di mana Malaysia boleh dianggap sebagai sebuah negara maju.

Wawasan 2020, adalah rancangan yang meliputi pelbagai aspek kehidupan dan dicetuskan oleh Mahathir pada 1991. Beliau melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara perindustrian dan berdikari menjelang 2020.

Sebelum ini Mahathir berkata, Wawasan 2020 tidak dapat dicapai disebabkan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Najib Razak.

Hari ini katanya, jika Najib menjalankan tugas dengan baik dalam membangunkan negara dan menjaga kesejahteraan rakyat, PH tidak mungkin memenangi pilihan raya umum ke-14.

“Yang menumbangkan dia (kerajaan) ialah perasaan tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan.

“Saya cuma alat sahaja untuk mengumpul tenaga supaya rakyat boleh ada pilihan yang lain. Sebab sebenar pertukaran kerajaan ialah kesalahan teruk yang dilakukan oleh kerajaan yang dikalahkan.”

Mengenai pembangunan negara, Mahathir berkata, kerajaan boleh menyediakan peluang kepada rakyat, tetapi terpulang kepada mereka untuk mengambil dan menggunakannya sepenuhnya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *