Tukar 2 Tan Sampah Dengan Bakul Makanan

Koh Chung Jade (dua dari kanan) menunjukkan bakul berisi ayam sejuk beku dalam menjayakan Misi Jelajah Kasih Pulau Gaya. Gambar Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Sebanyak dua tan sampah berjaya dikumpul penduduk enam kampung di Pulau Gaya di sini yang menukarnya dengan bakul makanan sempena program Misi Jelajah Kasih Pulau Gaya, hari ini.

Pengerusi Persatuan Skuad Komuniti Prihatin Sabah (KPS), Mohammad Taufik Ismail berkata, program itu menjadi serampang dua mata untuk menyalurkan bantu kepada penduduk terjejas Covid-19 dan mendidik mereka menjaga kebersihan pulau dan laut.

“Setiap keluarga perlu mengisi 25 kilogram sampah ke dalam guni yangb dibekalkan dan menukarnya dengan bakul makanan.

“Langkah ini dilihat sebagai salah satu kempen kesedaran bagi seluruh penduduk pulau kerana masalah sampah antara isu besar yang sentiasa wujud di Pulau Gaya sejak dahulu.

“Kita mahu mendidik masyarakat selain berusaha menjaga laut dan pulau terutamanya yang berhampiran dengan Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui di program itu.

Mohammad Taufik berkata, program dijayakan 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif di Kota Kinabalu termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah, Helping Orang Pedalaman (HOPe), Sahabat Amal Care (SAC) Sabah, Yayasan IKRAM Malaysia (IKRAM) Sabah, Amanah Hawi Alkhairat (HAK) Sabah, Malaysia For Syria Care (MFSCARE), Majlis Belia Sabah (MBS) dan KPS.

Menurutnya, semua sampah yang dikumpulkan akan dibawa ke jeti di bandar raya sebelum diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, menerusi program sama, lebih satu tan ayam sejuk beku diberikan kepada 463 keluarga di sekitar Pulau Gaya yang disumbangkan oleh syarikat Jetsin Sendirian Berhad. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *