Kerajaan Sabah Perlu Lebih Peka Dengan Tahap Capaian Internet

Ghazalie Ansing

KOTA KINABALU, 28 Nov : Kerajaan negeri Sabah perlu lebih peka dengan tahap capaian internet di negeri ini untuk memastikan ia tidak ketinggalan dalam kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berbanding negeri lain, kata Pengerusi Common Tower Technologies Sdn. Bhd (CTTSB) Ghazalie Ansing.

Justeru, katanya, kerajaan Sabah perlu mempunyai sistem pemantauan menara telekomunikasi sendiri untuk memantau kerja-kerja lapangan dan kemampanan menara telekomunikasi yang sedia ada.

“Sistem ini juga perlu agar kerajaan Sabah dapat melihat kadar permintaan-penawaran kapasiti internet di setiap lokaliti serta Pelan Tindakan Jaringan Digital Negara (JENDELA) yang boleh memanfaatkan rakyat secara menyeluruh dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai kemiskinan digital, Ghazalie berkata sudah tiba masanya kerajaan Sabah memainkan peranan yang lebih proaktif dan secara langsung dalam memastikan pembangunan telekomunikasi digital di seluruh negeri dipantau dan dilaksanakan secara menyeluruh.

“JENDELA bermula tahun depan merupakan idea bernas untuk menaik taraf jaringan digital negara melangkaui 4G. Kita sedia maklum aspirasi negara melalui JENDELA amat baik iaitu menaik taraf menara telekomunikasi kepada capaian 4G serta menambah jumlah menara telekomunikasi di negeri ini agar penembusan internet lebih tinggi,” tambahnya.

Sementara itu, Ghazalie berkata selaku anak syarikat Warisan Harta milik penuh kerajaan negeri, CTTSB akan berganding bahu dan membantu usaha meningkatkan capaian internet di negeri ini.

“Sebagai pemilik dan pengurus kepada 257 menara telekomunikasi di negeri ini, CTTSB merupakan salah satu operator terbesar dalam industri telekomunikasi negara, justeru kepakaran yang ada akan dimanfaatkan sepenuhnya demi membantu kerajaan negeri Sabah.

“CTTSB juga akan berbincang dengan pihak berkaitan agar pelan melebarkan jalur internet ke seluruh pelusuk negeri dapat direalisasikan. Bagi mencapai aspirasi ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu menyediakan peruntukan tinggi dan secukupnya kepada Sabah serta akan diuruskan oleh kerajaan Sabah,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1000