PKPD Di Taman Telipok Ria Bermula Jumaat Ini

KOTA KINABALU: Kerajaan akan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Telipok Ria, Tuaran bermula 27 November hingga 10 Disember ini.

Keputusan pelaksanaan PKPD itu dibuat dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara hari ini setelah mengambil kirra terdapat 253 kes positif Covid-19 dilaporkan di taman perumahan berkenaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, sehingga 22 November, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 2,609 saringan dan telah merekodkan sebanyak 253 kes positif.

Sehingga kini, masih terdapat 581 sampel saringan yang masih menunggu keputusan.

“Pelaksanaan PKPD ini melibatkan keluasan kawasan 229,459 meter persegi, 3,400 unit rumah dan 18,000 orang penduduk,” jelasnya.

Sementara itu, sidang khas MKN turut menamatkan PKPD di tiga lokaliti di Kudat seperti dijadualkan.

Pelaksanaan PKPD di tiga lokaliti, iaitu di Kampung (Kg) Pengaraban, Kg Tg Kapor dan Kg Landung Ayang ini bermula pada 31 Oktober sehingga 13 November dan kemudian dilanjutkan sehingga 26 November.

Setakat ini, daripada 3,084 ujian saringan dan sebanyak 345 kes kumulatif positif Covid-19 telah direkodkan.

Berdasarkan penilaian risiko dan saringan yang telah dilaksanakan oleh KKM mendapati kes positif Covid-19 di kawasan ini telah menurun dan terkawal.

Bagaimanapun, lokaliti ini masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh negeri Sabah yang sedang berkuat kuasa. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2493