ESScom Rampas Lebih 54KG Syabu Dan Ekstasi Dalam Bot Laju

Dadah jenis syabu dalam bungkusan Teh Cina yang dirampas kelmarin. NSTP/ Abdul Rahemang Taiming.

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCOM) menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila merampas 54.35 kilogram (kg) syabu dan 74.56 gram pil ekstasi bernilai RM2.5 juta dalam serbuan di kawasan Kuala Sungai Tawau Lama, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 9.20 malam itu, radar pasukan keselamatan mengesan sebuah bot laju bergerak dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan Tawau menuju ke arah kawasan perairan Wallacebay, Indonesia.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, susulan itu aset laut dari Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang dalam tugasan Operasi Cegah Pati (OCP) kemudiannya digerakkan ke lokasi sebelum berusaha memintas bot berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, bot laju dikendalikan dua suspek lelaki itu memecut dan berpatah balik ke perairan Tawau Lama sebelum dikejar bot PPM yang membuat kawalan di kawasan perairan berkenaan.

“Pasukan keselamatan terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Bahagian Narkotik IPD Tawau yang turut menjalankan rondaan OCP Daratan melakukan serbuan di lokasi pendaratan, namun kedua-kedua suspek berjaya meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot ditinggalkan suspek itu menemukan tiga kotak besar berlainan saiz di dalamnya mengandungi 54 bungkusan Teh Cina bertulis ‘Qin Shan’ yang berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan; Ketua Staf Op Darat ESSCOM, Senior Asisten Komisioner M Chandrasehkaran; Ketua Pusat Operasi ESSCOM, Brigedier Jeneral Hamzah Mohd Ali; Ketua Op Laut ESSCOM, Laksamana (Maritim) Hamid Mohd Amin dan Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas.

Ahmad Fuad berkata, selain syabu pemeriksaan turut menemukan satu paket plastik mengandungi 234 biji pil ekstasi seberat 74.56g.

Beliau berkata, ia adalah rampasan terbesar dadah jenis syabu dilakukan ESSCOM sejak OCP Darat dan Laut dilancarkan di Kawasan Zone Selamat Timur Sabah (ESSZONE) pada Mac lalu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2526