Bomba Selamatkan Gadis Terjun Ke Sungai Sembulan

Seorang gadis terjun dari Jambatan Sungai Sembulan sebelum diselamatkan anggota bomba. Gambar ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Tertekan dengan masalah keluarga dipercayai penyebab seorang gadis berusia 15 tahun terjun dari besi saluran paip dekat Jambatan Sungai Sembulan, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, gadis terbabit yang tinggal di Kampung Sembulan Lama dikatakan terjun dari besi saluran paip berkenaan.

Anggota bomba menyelamatkan gadis yang terjun dari besi saluran paip di Sungai Sembulan, Kota Kinabalu.

Orang awam yang menyedari kejadian menghubungi pihak berkuasa sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sembulan tiba untuk operasi menyelamat.

Anggota bomba cuba memujuk mangsa namun selepas hampir lima minit usaha itu gagal sebelum gadis terbabit terjun ke sungai.

Bagaimanapun pasukan bomba yang sudah bersedia di sungai berkenaan berjaya menyelamatkan gadis terbabit daripada lemas.

Anggota bomba menyelamatkan gadis yang terjun dari besi saluran paip di Sungai Sembulan, Kota Kinabalu.

Pegawai Operasi BBP Kota Kinabalu, Jamaludin Hussin berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan jam 1.46 tengah hari, bergegas ke lokasi bersama seramai 15 anggota dengan sebuah jentera, EMRS dan dua kenderaan utiliti.

Katanya, pasukan bomba cuba memujuk gadis yang berdiri di besi saluran paip dan satu lagi pasukan bersedia di sungai berkenaan.

“Selepas hampir lima minit memujuk gadis itu bertindak terjun menyebabkan pasukan bomba yang berada di sungai itu terus menyelamatkannya.

“Gadis itu kemudian dibawa ke daratan sebelum ditenangkan dan diberi rawatan awal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, gadis itu kemudian dimasukkan ke kenderaan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dengan kebenaran polis untuk pemeriksaan lanjut.

“Operasi menyelamat tamat jam 2.23 petang,” katanya.

Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu turut berada di lokasi kejadian. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *