Pembangkang Persoal Ahli Parlimen Keningau Datang Parlimen

Ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan

KUALA LUMPUR: Pembangkang mempersoalkan kehadiran Ahli Parlimen Keningau, Jeffrey Kitingan, di Dewan Rakyat, mengatakan beliau sepatutnya masih kuarantin kendiri sekembali dari Sabah.

Fahmi Fadzil (PKR-Lembah Pantai) yang membangkitkan perkara itu berkata: “Saya difahamkan ada dalam kalangan kita baru pulang dari Sabah iaitu Keningau, yang sepatutnya berada dalam kuarantin atau tidak. Mohon speaker jelaskan perkara ini.”

Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) mendesak Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman, mendapatkan penjelasan Kitingan sama ada beliau masih dalam kuarantin atau tidak.

“Saya difahamkan Keningau hadir ke Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah pada 12 Nov lalu. Jika dikira beliau tidak sepatutnya berada dalam dewan ini kerana asas kita dikuarantin adalah tidak mahu ahli Parlimen dalam Dewan ini dijangkiti Covid-19,” tegasnya.

Azalina kemudian meminta masa untuk mendapatkan penjelasan daripada pegawai Parlimen mengenai perkara itu.

“Berdasarkan jawapan rasmi daripada Parlimen, Keningau dibenarkan hadir dengan kebenaran klinik di Parlimen. Beliau dapat ‘release order’ selepas tamat kuarantin dari Kementerian Kesihatan,” katanya.

Azis kemudian menuduh Dewan Rakyat “double standard” kerana membenarkan wakil rakyat pemerintah hadir sidang Parlimen.

Azalina menjelaskan sebarang perkara berkaitan SOP kesihatan di Dewan Rakyat boleh dipanjangkan ke Speaker Azhar Harun. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4322