Penganalisis Gesa GRS Berhati-Hati Dalam Isu Peguam Besar Sabah

Brenndon Keith Soh dilantik sebagai peguam besar Sabah selama 2 tahun mulai 11 Julai 2020.

KOTA KINABALU: Penganalisis politik percaya kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus bersikap berhati-hati berhubung kedudukan peguam besar negeri itu kerana ia berisiko memberi kesan negatif terhadap imejnya.

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah berkata, “boleh difahami” dan “normal”, jika kerajaan negeri baru mahu bebas daripada bayangan kerajaan pimpinan Warisan sebelum ini, yang menamakan Brenndon Keith Soh untuk jawatan itu.

Beliau berkata, dakwaan berhubung tekanan supaya Soh meletak jawatan boleh menyebabkan orang ramai menganggap langkah itu merupakan taktik kerajaan GRS untuk memperkukuh kedudukan politiknya.

“Kedudukan peguam besar harus bebas daripada pengaruh politik dan menjadi institusi yang boleh bertindak bebas bagi memastikan kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.

“Tetapi kesan tekanan (yang didakwa) itu ialah kerajaan dilihat tidak menjarakkan diri daripada nepotisme atau penggunaan kuasa politik bagi memastikan tidak berlaku tentangan dalaman. Rakyat mahu melihat kerajaan bebas daripada semua ini.

“Dalam hal ini, mungkin peguam besar sekarang dilihat pro atau berpihak kepada pihak lain dan mesti diganti. Jika ini berlaku, kepercayaan masyarakat terhadap institusi peguam besar juga akan menurun,” katanya kepada FMT.

Romzi mengulas laporan FMT berhubung tekanan terhadap Soh supaya meletak jawatan berikutan perubahan kerajaan selepas pilihan raya negeri 26 September lalu.

“Peralihan yang lancar perlu kerana jawatan itu penting dalam membantu kepimpinan politik baru,” kata sumber kepada FMT.

Sumber itu berkata, GRS yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mahu melantik individu yang boleh bekerjasama baik dengan mereka.

Pada 24 Julai, ketua menteri Sabah ketika itu Shafie Apdal pelantikan Soh ke jawatan itu selepas mendapat persetujuan Yang di-Pertua Sabah Juhar Mahiruddin.

Soh, 43, bekas presiden Persatuan Undang-Undang Sabah, dilantik sebagai peguam besar negeri selama 2 tahun mulai 11 Julai 2020.

Beliau menggantikan Zaleha Rose Pandin yang dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman.

Sementara itu, penganalisis sosio-politik Awang Azman Pawi juga menekankan bahawa perkara itu perlu ditangani dengan baik, sambil mengingatkan dalam perkhidmatan awam, kesetiaan peguam besar adalah kepada negeri, bukan mana-mana kumpulan politik.

“Jawatan itu perlu berada di luar politik kerana individu terbabit ialah penjawat awam. Menolak peguam besar sekarang yang penggal perkhidmatannya belum berakhir akan menggambarkan bahawa GRS mahu mendominasi semua aspek pentadbiran negeri,” katanya.

Awang Azman berkata tiada undang-undang yang menetapkan peguam besar perlu diganti apabila berlaku pertukaran kerajaan atau ketua menteri.

Katanya, tidak sampai 5 bulan Soh memegang jawatan itu, sementara penggal perkhidmatannya hanya akan berakhir pada Julai 2022, tetapi tekanan yang diwarwarkan supaya beliau meletak jawatan menampakkan seolah-olah agenda politik tertentu sedang berjalan.

Pejabat Peguam Besar Sabah adalah jawatan berperlembagaan. Bersama-sama dengan setiausaha negeri, pejabat berkenaan dibentuk berdasarkan Perkara 11 (1) Perlembagaan Negeri.

Pelantikan ke Pejabat Peguam Besar dibuat oleh Yang di-Pertua Sabah berdasarkan nasihat ketua menteri, yang akan memilih untuk melantik individu yang namanya termasuk dalam senarai yang diserahkan untuk tujuan itu oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.

Sebelum memberikan nasihatnya, ketua menteri perlu berunding dengan kerajaan persekutuan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *