Kes Covid-19 Di Sabah Dijangka Naik Mendadak

Petugas Unit Penyakit, Pejabat Kesihatan Sandakan, Sabah mengambil sampel pengunjung dan peniaga di laluan pejalan kaki sewaktu mengadakan saringan COVID-19 di Pasar Kim Fung hari ini. – foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Sabah khususnya daerah Kota Kinabalu dijangka mencatat kenaikan mendadak kes baharu COVID-19 selepas hasil ujian saringan di dua lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diperoleh nanti.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata saringan masih dilakukan di Telipok dan Kampung Numbak.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) masih membuat saringan COVID-19 di penempatan Telipok dan Kampung Numbak yang mempunyai jumlah penduduk padat iaitu sekitar 21,000 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata, kadar pematuhan penduduk Sabah terhadap prosedur operasi standard (SOP) terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir mencapai seratus peratus.

“Kadar pematuhan SOP PKPB ialah 97.93 peratus yang mana empat daerah iaitu Kota Kinabalu, Kinabatangan, Sipitang dan Kota Belud mencapai tahap kadar pematuhan sebanyak 99 peratus,” katanya.

Sabah hari ini mencatat sebanyak 346 kes baharu dengan sebanyak tiga kematian masing-masing membabitkan Keningau, Kudat dan Lahad Datu. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *