Sabah Sekat Kemasukan Pemegang Pas Lawatan Dari 23 Negara

Masiji Manjun

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengeluarkan senarai terkini bagi menyekat kemasukan pemegang pas lawatan jangka panjang dari 23 negara berisiko tinggi.

Pas lawatan itu termasuklah pas bagi Pemastautin Tetap (PR), Pas Program Malaysia My Second Home (MM2H), semua ekspatriat-pas Penggajian (Kategori I, II dan III), Pas Lawatan Ikhtisas dan Pas Tanggungan, Pas Suami/ Isteri kepada warganegara, Pas Pelajar dan Pas Lawatan Kerja Sementara.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kerajaan Sabah tidak mahu rakyat dari negara-negara berisiko tinggi yang disenaraikan itu masuk ke negeri ini.

Senarai 23 negara berisiko tinggi itu adalah Amerika Syarikat, Brazil, India, Rusia, Peru, Colombia, Afrika Selatan, Mexico, Sepanyol, Argentina, Chile, Iran, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi, Pakistan, Perancis, Turki, Itali, Jerman, Iraq, Filipina dan Indonesia.

“Namun, pengecualian diberikan kepada diplomat atau staf kedutaan yang belum mempunyai pas atau kemasukan kali pertama. Mereka perlu mendapatkan kelulusan masuk daripada Ketua Pengarah Imigresen terlebih dahulu.

“Pengecualian turut diberikan kepada anak kapal yang masuk bagi menjalankan aktiviti sign-on atau joint ship dan sign-off. Turut dibenarkan masuk adalah kru dan pekerja profesional dalam industri petroliam (minyak dan gas) yang telah mempunyai pas dan diberi kelulusan masuk oleh kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Masidi berkata, kumpulan yang diberi pengecualian dari 23 negara ini bagaimanapun tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di Sabah dan membuktikan mereka sihat untuk masuk ke negeri ini.

Menurutnya, sekatan ini juga turut melibatkan warganegara asing lain yang bermastautin atau mempunyai Pas Lawatan Jangka Panjang di negara-negara yang dinyatakan. Kelulusan masuk yang telah diberikan kepada warganegara terlibat juga tidak terpakai sepanjang tempoh sekatan.

Dengan ini, kerajaan negeri memutuskan untuk memansuhkan kenyataan Ketua Menteri Sabah bertarikh 4 September lalu mengenai sekatan Pas Lawatan Jangka Panjang bagi warganegara India, Indonesia dan Filipina.

Sehubungan itu, semua kemasukan ke negeri Sabah adalah tertakluk kepada arahan-arahan sekatan kemasukan ke negeri Sabah yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri dari semasa ke semasa. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2472