Sebahagian Dari 21,000 Penduduk Kampung Numbak, Telipok Disaring Hari Ini

Kampung Numbak mempunyai penduduk yang padat iaitu kira-kira 5,700 penduduk dan dikenakan PKPD.

KOTA KINABALU: Susulan pengesanan 341 kes positif di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok, saringan bersasar Covid-19 di kedua-dua kawasan tersebut akan dijalankan esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan menjalankan saringan bersasar melibatkan 10 peratus penduduk di kawasan tersebut.

Kawasan yang kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu mempunyai kira-kira 21,000 orang penduduk dimana, sekitar 15,000 orang di Penempatan Telipok dan 5,700 orang di Kampung Numbak.

Beliau berkata, daripada 341 kes positif yang dikesan setakat ini, 134 kes dikesan di Kg Numbak dan 25.4 peratus daripadanya membabitkan warga asing. Sementara, 207 kes di Penempatan Telipok yang babitkan 13.4 peratus warga asing.

Masidi berkata, dengan saringan bersasar peningkatan kes yang mendadak dijangka akan berlaku di Kota Kinabalu dalam tempoh dua hingga tiga hari akan datang.

“Walau kes pada masa ini stabil tapi dengan ujian saringan bersasar di Kg Numbak dan Telipok ini, kita akan melihat kenaikan kes yang mendadak di Kota Kinabalu. Ia bergantung kepadda hasil ujian yang dilakukan.

“Ujian bersasar ini sebagai tindakan proaktif JKNS untuk memperluaskan saringan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Pelaksanaan PKPD di Kg Numbak dan Penempatan Telipok bermula hari ini sehingga 29 November.

Dalam pada itu, bantuan bakul makanan ke kawasan ini juga akan turut diberikan dan jika ianya tidak mencukupi, mereka boleh maklumkan kepada pegawai yang terlibat dalam agihan bakul makanan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *