SESB Buka Semula Kaunter 23 November

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Pengguna Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di seluruh Sabah dan Labuan boleh berurusan dengan syarikat utiliti itu secara bersemuka susulan pembukaan perkhidmatan kaunter bermula 23 November ini.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Norhizami Abu Hasan, berkata pembukaan semula itu bagi memudahkan pengguna menyelesaikan pelbagai urusan berkaitan perkhidmatan SESB.

“Bagaimanapun, hanya 50 peratus kakitangan dibenarkan bertugas di bahagian berkenaan pada satu-satu masa.

“Ia selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sebelum perkhidmatan secara bersemuka dibuka, SESB akan menggunakan pelbagai kaedah lain untuk memenuhi kehendak pengguna sejajar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabah dan Labuan.

Ketika ini, katanya perkhidmatan pengguna masih diteruskan menggunakan saluran alternatif iaitu kaedah sama yang dipraktikkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan

(PKP) sebelum ini.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah permohonan bekalan baharu, penamatan akaun dan penukaran nama. Pengguna boleh mencetak borang berkaitan melalui laman sesawang SESB di www.sesb.com.my.

“SESB menyediakan kemudahan muat turun, tatacara dan prosedur pengisian borang serta senarai semak dokumen yang perlu disertakan bersama dalam laman sesawang berkenaan.

“Borang yang lengkap diisi boleh dihantar terus ke kaunter Polis Bantuan SESB di daerah masing-masing di seluruh Sabah dan Labuan. Pihak SESB akan menghubungi pengguna dalam tempoh 48 jam bagi memaklumkan penerimaan borang dan tindakan yang perlu diambil selanjutnya,” katanya.

Sehubungan itu, Norhizami menasihatkan pengguna supaya memberikan maklumat yang lengkap bagi memudahkan anggota kerja SESB menghubungi mereka untuk proses seterusnya.

Selain itu, katanya pengguna yang ingin bertanya mengenai status penghantaran borang atau memerlukan sebarang perkhidmatan SESB termasuk permohonan janji temu boleh menghubungi nombor telefon SESB mengikut zon masing-masing pada waktu pejabat.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *