Kluster Matambai Di Sabah Jangkiti 24 Individu

PUTRAJAYA: Satu kluster baharu dikesan membabitkan Kota Kinabalu dan Penampang di Sabah, yang dikenali sebagai Kluster Matambai.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sehingga kini kluster berkenaan sudah menjangkiti 24 individu.

“Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-22,962) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 22 Oktober lalu, sebelum dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, Matambai di Penampang.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 333 individu sudah disaring. Daripada jumlah itu, 306 individu dikesan negatif dan tiga lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang media COVID-19, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan satu kluster diisytiharkan tamat selepas tidak lagi mencatatkan pertambahan kes baharu dalam tempoh 28 hari.

“Ingin dimaklumkan bahawa Kluster Jeram diisytiharkan tamat hari ini. Kluster ini membabitkan daerah Kubang Pasu di Kedah.

“Sehingga jam 12 tengah hari ini seramai 351 individu disaring di mana lima kes dikesan positif COVID-19, manakala 346 individu lagi negatif.

“Tiada kematian dilaporkan membabitkan kluster ini,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2033