Beri Saya Masa Selesai Masalah Air, Elektrik Di Sabah – Bung

Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin berkata, masalah bekalan air dan elektrik bukan sahaja menyebabkan jabatan atau syarikat pengendali mengalami kerugian, tetapi seluruh rakyat.

KOTA KINABALU: Timbalan ketua menteri, Bung Moktar Radin meminta diberi sedikit masa untuk menyelesaikan masalah air dan elektrik di Sabah, sekali gus memberi jaminan isu itu menjadi keutamaan beliau.

Katanya, beliau meminta diberi sedikit masa untuk menangani masalah berkenaan kerana baru sahaja memegang jawatan menteri kerja raya negeri kira-kira lebih sebulan lalu.

“Beri saya sedikit waktu, sebab saya baru masuk (menjawat jawatan) 1 bulan lebih, keutamaan saya adalah (bekalan) air dan elektrik.

“Dalam tempoh 5 tahun ini, dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini, Insya Allah… bukan saya guna ‘ilmu hitam’, tetapi saya ada akal sedikit untuk menyelesaikan isu yang melanda, krisis yang kita hadapi, air dan elektrik.

“Ini boleh diselesaikan. Rakyat Sabah akan mendapat bekalan air bukan saja di Sandakan, Elopura, tetapi seluruh Sabah,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Calvin Chong Ket Kiun (DAP-Elopura) berhubung langkah kerajaan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Elopura.

Bung berkata, masalah bekalan air dan elektrik bukan sahaja menyebabkan jabatan atau syarikat yang mengendalikannya mengalami kerugian, tetapi seluruh rakyat Sabah turut menerima kesannya.

“Saya lihat banyak syarikat peniaga air di negeri lain untung, tetapi di Sabah ini saya lihat sudah berpuluh tahun kita rugi dan kerugian ini kira-kira RM300 juta 1 tahun, kalau sudah 25 tahun bayangkan berapa bilion (kerugian)?

“Sebab itu saya minta pengarah jabatan air dan yang mahir (berkaitan) air duduk berbincang dengan kita bagaimana untuk mendapatkan keuntungan, tidak boleh rugi. (Sekarang) elektrik kita rugi, air kita rugi,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *