Pasangan Daif Di Tawau Terima Bantuan Rumah

TAWAU: Kehidupan daif sepasang suami isteri yang berteduh di dalam sebuah pondok usang bagi meneruskan kehidupan bakal berakhir dengan keprihatinan beberapa pihak menyumbang sebuah rumah baharu untuk mereka yang sedang dibina di Kampung Blok 31 di sini.

Sarman Bacho, 57, ketika ditemui pemberita tidak dapat menahan linangan air matanya kerana terharu dengan bantuan serta keprihatinan banyak pihak termasuk Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Sarman berkata selama 20 tahun hidupnya bersama isteri hanya tinggal menumpang di rumah saudara dan kini berteduh di sebuah pondok yang uzur berdindingkan papan lapis berdekatan Kampung Blok 31.

“Saya bersyukur, saya tidak mampu membalas jasa mereka semua yang membantu membinakan sebuah rumah untuk kami,” katanya di sini, hari ini.

Dia yang kini tidak dapat bekerja kerana menjaga isteri, Sabariah Mohammad, 50, yang sakit dan terlantar selepas disahkan mengidap penyakit angin ahmar sejak lima tahun lepas, tidak lagi risau pondok yang didiami mereka berdua akan roboh setiap kali hujan lebat atau ribut.

Sarman dan Sabariah yang tidak mempunyai anak, hidup dengan belas ihsan penduduk yang sudi menghulurkan bantuan kepada mereka ketika ini.

Sementara itu, Nizam yang ditemui selepas meninjau pembinaan rumah pasangan suami isteri itu yang dilengkapi sebuah bilik tidur, ruang tamu dan dapur serta tandas berkata projek bernilai RM10,000 itu dijangka siap dalam tempoh tiga hari lagi.

Nizam yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas itu berkata kehidupan daif keluarga itu diketahui hanya selepas melawat pondok didiami pasang itu pada dua minggu lepas.

“Hasil hubungan baik dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) kita bersama-sama membina rumah yang lebih sempurna untuk keluarga Sarman agar mereka dapat hidup lebih selesa, dengan isteri yang sakit.

Terima kasih juga kepada tuan tanah yang membenarkan pembinaan rumah Sarman ini di tanahnya, kita harap sikap berjiwa besar seperti ini akan dapat dicontohi oleh masyarakat lain ketika membantu mereka yang memerlukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nizam berharap kerjasama antara kerajaan negeri serta NGO dapat diteruskan serta diperkukuh lagi supaya sebarang bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *