Boleh Keluarkan Akaun Satu KWSP Tapi Bersyarat

Asri ketika ditemu bual dalam program SPM di TV1 hari ini. – Foto Facebook Kementerian Kewangan.

SHAH ALAM : Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang layak akan dibenarkan untuk membuat pengeluaran daripada akaun satu setelah mereka menghabiskan jumlah pengeluaran maksimum daripada akaun dua menerusi program i-Lestari.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Asri Hamidon berkata, itu adalah antara syarat yang ditetapkan kerajaan menerusi program i-Sinar kepada pencarum untuk pengeluaran KWSP akaun satu.

“Sebelum ini, menerusi pakej Prihatin (Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat) dalam program i-Lestari kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan daripada akaun dua sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan meliputi jumlah keseluruhan sebanyak RM6,000.

“Menerusi Belanjawan 2021 pula, kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada akaun satu secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 runtuk 12 bulan tetapi dengan syarat, pencarum kena menghabiskan akaun dua di bawah jumlah maksima i-Lestari dahulu dan baru boleh dikeluarkan bawah akaun satu,” katanya dalam satu temubual menerusi program Selamat Pagi Malaysia (SPM) yang disiarkan secara langsung di TV1 hari ini.

Selain itu katanya, kerajaan juga sedang berbincang dengan KWSP tentang mekanisme lain yang boleh membantu pencarum yang terkesan untuk pengeluaran akaun satu.

“Kita peka dengan keluhan rakyat dan akan meneliti semua aspek untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan juga meminta KWSP untuk lihat apa lagi yang boleh kita buat untuk bantu pencarum termasuk memperhalusi semula dan mempertimbangkan penambahbaikan bagi kriteria pengeluaran akaun satu,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

7333