Sukan Tidak Bersentuhan Kini Dibenarkan Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bertindak memberi kelonggaran dalam prosedur operasi standard (SOP) bagi membenarkan pembukaan taska sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah hari ini.

Katanya, kebenaran beroperasi ini diberikan kepada taska yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Am Sabah atau Jabatan Kebajikan Masyarakat mengikut tata cara SOP yang ditetapkan.

“Operasi taska yang dibenarkan dari 6 pagi hingga 6 petang dengan kapasiti separuh daripada yang asal atau bergantung kepada keluasan taska bagi membolehkan penjarakan sosial dilakukan. Anak-anak yang dihantar ke taska juga dikehendaki memakai pelitup muka.

“Setiap ruang atau bilik di taska hendaklah sentiasa dipastikan bersih, selamat dan disanitasi setiap kali digunakan,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Mengenai urusan pernikahan yang mula dibenarkan pula, beliau berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) membenarkan urusan nikah, cerai dan rujuk (NCR) tiga hari seminggu di semua pejabatnya.

Kebenaran urusan di Jheains ini berkuat kuasa daripada 16 Nov hingga 12 Dis atau sepanjang tempoh PKPB dengan mematuhi SOP ditetapkan.

Dalam pada itu, aktiviti sukan yang tidak bersentuhan fizikal juga dibenarkan di Sabah. Aktiviti sukan secara individu atau kumpulan yang tidak melebihi 10 orang pada satu-satu masa dibenarkan.

Aktiviti sukan yang dibenarkan adalah sukan rekreasi, sukan seni mempertahankan diri, sukan raket, sukan kemahiran dan sukan berpasukan yang tidak bersentuhan fizikal. Misalnya, joging, mendaki, berbasikal, olah raga, angkat berat, pancak silat, karate, taekwando, badminton, tenis, squash, memanah, pelayaran, gimnastik, menembak, hoki, bola keranjang, ragbi dan bola sepak.

Kapasiti pekerja bagi sukan indoor adalah 50 peratus daripada kapasiti yang sebenar. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *