1,114 Kes Baharu Covid-19, 2 Kematian Hari Ini

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR: Penularan Covid-19 dalam negara merekodkan 1,114 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak itu sebanyak 46,209 kes dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 12,131 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah mencatatkan 391 kes iaitu 35.1 peratus daripada keseluruhan kes positif Covid-19 hari ini.

“Negeri Sembilan pula merekodkan 371 kes (33.3 peratus) daripada keseluruhan kes positif harian, yang sebahagian besarnya daripada Kluster Cergas iaitu sebanyak 363 kes.

“Negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan sebanyak 217 kes positif hari ini dengan 145 kes adalah daripada kluster-kluster (sedia ada),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat ini ada 103 pesakit positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 43 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), dukacita dimaklumkan ada dua kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan (dalam negara) 306 kes kematian,” katanya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan bilangan kes pulih Covid-19 sebanyak 803 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 33,772 kes atau 73.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, Sabah mencatatkan kes sembuh tertinggi iaitu 358 kes diikuti Selangor (209), Pulau Pinang (42), Perak (42), Sarawak (15), Kedah (4), Terengganu (4), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (3) dan Melaka (1). – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

555