Sayu Di Hati Ardell Melihat Kadaan Penduduk Terjejas Akibat Covid-19 Di Sabah

Pelakon Ardell Aryana, 30, yang kini melaksanakan misi kemanusiaan di Sabah. FOTO Instagram

KUALA LUMPUR: Pelakon Ardell Aryana, 30, yang kini melaksanakan misi kemanusiaan di Sabah sangat tersentuh hati melihat keadaan penduduk setempat yang terjejas akibat Covid-19 dan memerlukan bantuan makanan.

  Ardell pada perkongsiannya di Instagram Story (IG) meluahkan kesayuan hatinya di saat melihat kesanggupan penduduk menaiki sampan dan ada yang membawa anak kecil beratur untuk mendapatkan bantuan.

  “Lihatlah anak yang bergayut di dada maknya. Jika aku mampu berlebih-lebih, pasti aku memberi lebih untuk setiap keluarga.

  “Macam inilah keadaan mereka, tapi mereka bersyukur je sebab dah biasa hidup rumah macam ini atas laut.

  “Cuma, mereka terkesan tak dapat tangkap ikan untuk jual. Jadi tak ada la sumber makanan untuk beli beras, susu anak mereka,” tulisnya.

  Menurut Ardell, dia juga gembira dan bersyukur apabila ramai yang mengirim mesej kepadanya di IG untuk bersama- sama menghulurkan bantuan mereka.

  “Ramai yang DM nak bantu, boleh salurkan ke akaun yang saya nyatakan. Tak kisah RM1 pun, saya okay je. Nanti, saya akan gabungkan dengan penderma lain dan sampaikan duit itu berbentuk beras, makanan asas dan susu.

  “Hari ini, penyampaian bantuan masih di laut untuk mereka yang lebih memerlukan. Kepada mereka yang DM saya untuk hulurkan bantuan, saya tak dapat balas satu persatu,, tapi awak boleh kongsi rezeki dengan warga Semporna di laut dan darat ke akaun yang di nyatakan,” katanya.

  Berikutan masih ramai penduduk di Sabah harus dibantu, mereka  yang ingin menyumbang boleh salurkan ke akaun 550510970142 (Yayasan Dana Kebajikan Muslim).

  Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin sudah berada di Sabah sejak beberapa hari lalu bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang disertai untuk menjayakan misi bantuan kemanusiaan di Semporna dan Tawau itu.

  Pernah membintangi drama Asam Pedas Untuk Dia dan Baby Ana Milik Siapa, Ardell mendirikan rumah tangga dengan pelakon Nadzmi Adwa pada tahun lalu dan kini dikurniakan bayi perempuan, Arwa Malaikha Urwa, berusia lima bulan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1787