Jangan Ambil Mudah Penurunan Kes Covid-19 Di Sabah, Kata Masidi

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil mudah walaupun kes Covid-19 di Sabah mencatatkan penurunan sejak 3 hari ini.

Katanya, angka berkenaan hanya akan terus menurun sekiranya semua pihak berkerjasama dan lebih berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

”Hari ini, sebanyak 370 kes baru dicatatkan dan terdapat sedikit penurunan kes harian selepas 3 hari lalu.

“Saya rasa, angka yang ditunjukkan hari ini adalah diramal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa strategi mereka berfungsi.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh ambil mudah perkara ini. Kalau mahu jumlahnya terus menurun, setiap pihak perlu berkerjasama dan lebih berdisiplin dalam mematuhi SOP.

“Saya sangat berharap angka ini terus menurun untuk hari seterusnya,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah aplikasi Zoom, hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata, tiada sampel ujian Covid-19 tertunggak di negeri berkenaan setakat ini.

“Saya andaikan apa yang dilaporkan sekarang adalah kes terbaru dan jumlah ini dalam kawalan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, 3 lagi pusat kuarantin dan rawatan Covid berisiko rendah (PKRC) dibuka hari ini bagi menampung pertambahan pesakit di beberapa daerah di negeri itu.

Katanya, salah satu PKRC dibuka di Kompleks Penjara Kepayan yang mempunyai kapasiti 120 katil dan dikhaskan untuk banduan yang dijangkiti Covid-19 di situ.

”2 lagi pusat yang dibuka adalah di Dewan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Tuaran yang mempunyai kapasiti 60 katil serta di Dewan Masyarakat Tenom yang boleh memuatkan 48 katil.

”Walaupun di Tenom tidak mencatatkan sebarang kes pada hari ini, pembukaan PKRC di daerah itu sebenarnya bukan hanya untuk kegunaan pesakit dari daerah itu saja.

”Tenom terletak tidak jauh dari Keningau, iaitu daerah yang sebelum ini pernah mencatatkan statistik kes yang tinggi, jadi kita sebenarnya melihat kesesuaian sesebuah bangunan dan logistiknya,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *