Covid-19: Dua Kluster Baharu Di Kota Belud

KOTA KINABALU: Sabah melaporkan kes pulih yang tinggi iaitu 967 kes daripada 1,345 keseluruhan kes pulih daripada jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

Dua lagi kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini iaitu kluster Numbak dan kluster Nahaba, Kota Belud. Ia menjadikan keseluruhan kluster di negeri ini bertambah kepada 61 kluster.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kluster Numbak melaporkan lapan kes positif dan kluster Nahaba, Kota Belud mencatatkan 25 kes positif.

Sebanyak tujuh kes kematian dilaporkan hari ini, iaitu tiga kes di Sandakan, dua kes di Kota Kinabalu, satu kes masing-masing di Tawau dan Tuaran.

Untuk hari ini, 370 kes baharu dilaporkan di 17 daerah di Sabah dan kes tertinggi dicatatkan di Kota Kinabalu dengan 118 kes positif baharu.

Sementara, sebanyak 59 kes dilaporkan di Sandakan, Tuaran (52), Tawau (42), Kota Belud (26), Keningau (19), Lahad Datu (15), Penampang (8), Putatan (8) dan empat kes di Telupid, Kudat dan Ranau.

Manakala, tiga kes dilaporkan di Papar, Kota Marudu dan Pitas serta satu kes masing-masing di Semporna dan Kinabatangan.

Sebanyak 35.41 peratus kes atau 131 kes positif yang dilaporkan di Tawau, Kota Kinabalu, Tuaran dan Sandakan dikesan daripada saringan kontak rapat. Manakala, 239 kes lagi daripada lain-lain kategori.

Pertambahan tujuh kes kematian baharu menjadikan keseluruhan kes kematian di Sabah adalah sebanyak 156 kes.

Setakat ini, sebanyak 20,792 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan 2,992 kes aktif yang sedang menerima rawatan dimana, 753 orang dirawat di hospital dan 2,239 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 68 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 20 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil di hospital dan PKRC seluruh Sabah ketika ini adalah sebanyak 9,563 katil, iaitu 980 di hospital dan 8,583 katil di PKRC. Kadar penggunaan katil adalah 31.29 peratus.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2178