Sabah Akan Kutip Cukai Jualan RM1.25 Bilion Daripada Petronas Mulai Tahun Depan, Kata Jeffrey

Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan negeri juga memohon dana RM500 juta daripada Putrajaya sebagai sebahagian daripada obligasi perlembagaan kerajaan persekutuan.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan negeri dijangka mengutip cukai jualan minyak dan gas sebanyak 5% daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berjumlah RM1.25 bilion, mulai tahun depan.

Jeffrey berkata, perkara itu dibawa kepada perhatian Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang bersetuju mengenainya, lapor Bernama.

“RM1.25 bilion akan diterima secara langsung daripada Petronas jadi ia tidak dimasukkan dalam Belanjawan 2021. Bagaimanapun kita mungkin merangkumkannya dalam belanjawan negeri,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga akan mengutip cukai jualan 5% daripada syarikat minyak dan gas lain yang beroperasi di Sabah.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut mengemukakan surat kepada Muhyiddin untuk memohon dana sebanyak RM500 juta sebagai sebahagian daripada obligasi perlembagaan kerajaan persekutuan.

Berdasarkan Jadual Kesepuluh, Perkara 112C perlembagaan persekutuan, kerajaan pusat hendaklah memberi kepada Sabah 40% daripada hasil bersih yang diperoleh dari negeri itu.

Jeffrey berkata, dana RM500 juta adalah lebih baik berbanding “penyelesaian” kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, iaitu melalui pemberian geran khas RM53.4 juta kepada Sabah.

“Jumlah RM53.4 juta untuk tempoh 4 tahun dan RM106.8 juta pada tahun ke-5 bermakna kita (Sabah) tidak mempunyai ruang untuk merundingkan semula jumlah itu untuk 5 tahun akan datang,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2019